SOLAT ISTIKHARAH


Solat Istikharah bermaksud solat yang dikerjakan untuk memohon petunjuk/jalan/pilihan agar sesuatu yang akan dibuat itu hasil kemudiannya menjadi baik dan diberkati. Bermakna apa yang akan kita buat kita mengadu kepada Allah dahulu.

Definisi


Istikharah adalah perkataan Arab yang berasal daripada kata dasar ‘khayara’. Daripada kata inilah terbitnya juga perkataan ikhtiar yang bermaksud pilihan. Apabila ditambah huruf hamzahwasl, sin dan ta di hadapan perkataan ini yang menjadikan ianya disebut istakhara, maka ia bermaksud meminta pilihan.

Jadi solat istikharah itu didefiniskan sebagai solat yang dilakukan semata-mata kerana ingin mendapat petunjuk Allah (melalui solat) kerana kita berhadapan dengan dua atau pelbagai pilihan. Kerana hanya Allah SWT yang amat mengetahui perkara-perkara yang terbaik dan apa yang baik untuk diri kita sebagai hambaNya. Maka sepatutnyalah kita mengadu dan memohon agar Allah membantu dalam membuat pilihan.

Syariat

Solat Istikharah ini adalah salah satu daripada syariat (Ajaran) Islam. Ia disandarkan kepada beberapa hadis daripada Rasulullah SAW. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh kedua-dua iman Bukhari dan Muslim daripada Jabir ra bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kami solat istikharah. Sabdanya :

“Apabila kamu dilanda kekusutan terhadap sesuatu, maka hendaklah dikerjakan solat dua rakaat kemudian berdoa”

Dengan doa yang akan disebutkan di bawah ini insya Allah.

Hukum

Solat ini hukumnya adalah sunat. Ia boleh dilakukan bagi memohon petunjuk Allah atas perkara-perkara harus yang menjadi kesamaran kepada umat Islam untuk membuat pilihan. Maksudnya di sini ialah, tidak boleh dilakukan solat sunat istikharah ke atas perkara wajib seperti untuk persoalan adakah perlu aku tunaikan zakat? Haji? Mengenakan tudung (pakaian menutup aurat)? dan lain-lain yang diketahui ia sebagai tuntutan wajib ke atas umat Islam.

Begitu juga tidak boleh dilakukan solat istikharah atas perkara-perkara yang telah nyata haram. Seperti keinginan untuk membuat pinjaman ataupun tidak dengan AhLong yang jelas melibatkan amalan riba, ataupun sama ada ingin melayan atau tidak mengendahkan permintaan rasuah daripada orang yang meluluskan sesuatu perkara/projek dan sebagainya. Sepatutnya mereka terus sahaja tidak membuat pinjaman AhLong yang melibatkan riba dan tidak memberi rasuah. Tidak ada ruang untuk beristikharah dalam perkara berkenaan lagi.

Sebaliknya solat istikharah itu dituntut atas perkara-perkara yang harus seperti ingin memilih jodoh, menerima pinangan, atau membuat pilihan di antara dua atau lebih tawaran pekerjaan halal, atau membuat pilihan sama ada ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sesuai, dalam negeri atau luar negeri dan sebagainya.

Cara melaksanakan solat istikharah

Kaifiyat atau cara-cara mengerjakan solat sunat Istikharah ini sama seperti solat-solat sunat yang lain. Ia dikerjakan sebanyak dua rakaat berdasarkan kepada hadis sahih di atas. Imam al-Nawawi (1993:157) mencatatkan bahawa solat sunat ini terlaksana sama ada apabila seseorang mengerjakan solat rawatib (qabliyah atau ba’diyah) selepas solat fardhu, solat sunat tahiyatul masjid atau solat-solat sunat yang lain. Yang membezakannya adalah doa yang dibaca selepas solat itu. Sekiranya ia membaca doa istikharat (yang akan disebutkan di bawah) maka solat yang dikerjakan itu dikira sebagai solat sunat istikharah.

Kebanyakkan ulama mengkuhuskan solat sunat yang lain daripada solat rawatib dan sebagainya sebagai solat Istikharah. Maksudnya, ia adalah solat yang khusus untuk beristikharah, dengan niatnya yang khusus bahawa ia akan mengerjakan solat istikharah. Seperti niatnya: 
"sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala". 

Mereka juga ada menentukan masa seperti selepas tengah malam atau sebelum subuh bagi mengerjakan solat ini.

Solat sunat Istikharah ini boleh dilakukan sama ada secara bersama dengan solat-solat sunat yang lain, pada waktu-waktu kebiasaan seseorang melakukan solat sunat. Selepas atau sebelum solat fardhu. Contohnya bagi mereka yang datang awal ke masjid, selepas azan zohor, mereka biasa melakukan solat qabliyah zohor, jadi diniatkan untuk beristikharah (baca doa istikharah) selepas solat tersebut. Sejurus selepas solat, ia berdoa dengan doa istikharah maka insyaAllah, ia akan memperolehi pahala solat qabliyah dan solat istikharah secara sekaligus seperti pahala puasa syawal bagi mereka yang melakukan puasa qadha.

Ataupun anda boleh memilih sama ada ingin memperuntukkan waktu yang khusus bagi solat ini pada waktu-waktu yang selesa bagi anda untuk mengerjakannya. Yang penting adalah keikhlasan dan penyerahan diri kepada Allah SWT secara sepenuhnya (sama ada kita berada dalam kesenangan mahupun waktu-waktu sukar dan mencabar).

Niat solat istikharah ialah

أصَلِّي سُنَّةَ الإِسْتِخَارَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

Sahaja aku mengerjakan solat istikharah dua rakaat 
kerana Allah Ta'ala 

Bacaan surah dalam solat istikharah sebagaimana yang dicatatkan oleh Imam al-Nawawi adalah, pada rakaat pertama dibaca surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua pula surah al-Ikhlas. Kedua-duanya dibaca selepas bacaan surah al-Fatihah. Boleh membaca surah-surah berkenaan sekali sahaja atau diulang sebanyak tiga kali mengikut keselesaan dan keikhlasan anda sendiri.

Doa Istikharah 

Memohon semoga Allah menunjukkan keputusan yang terbaik untuk dilaksanakan.

Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: 

"Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:


"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. 
Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan urusan itu.......) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatkanlah bagiku padanya 
dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan urusan itu.......) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

*(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).

Cara berdoa

Memulakan dengan puji-pujian kepada Allah.

Selawat ke atas Rasulullah SAW, keluarganya, sahabatnya dan para pengikutnya.

Bacaan doa di atas

Menyebut perkara yang dihajati (berada dalam kesamaran)

Selawat ke atas Rasulullah SAW, keluarganya, sahabatnya dan para pengikutnya

Diakhiri dengan puji-pujian kepada Allah SWT.

Tidak akan menyesal sesiapa yang bertanyakan penciptanya dan berbincang dengan orang-orang mukmin kemudian berhati-hati dalam menangani persoalannya.

Allah telah berfirman:


"Dan berbincanglah dengan mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dll). Apabila kamu telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah".

Semoga mendapat rahmat, pertolongan daripada Allah atas segala niat dan tindakan yang bakal kita ambil. Yang terlebih penting agar ruh agama dan syariat Islam sentiasa segar bak darah yang mengalir dalam diri dan kita tidak terpisah daripadanya melainkan melalui kematian. Firman Allah (Ali Imran:102) 

“Dan janganlah kamu mati melainkan sebagai orang Islam (yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah). Yakni dengan mengikuti dan mengamalkan setiap ajaran Islam dalam menjalani kehidupan di dunia secara total."

Tambahan:

Berdoalah ketika sujud yang terakhir kerana Sabda Rasulullah s.a.w

"Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."

Tetapi sekiranya doa itu selain dari Bahasa Arab, perlu dibaca di dalam hati (jangan dilafazkan). Kerana batal solat jika berbahasa selain Bahasa Arab (doa Arab).

No comments:

Post a Comment

Jom Share (^_^)