MUNGKIR JANJI UNTUK BERKAHWIN DAN KESAN KE ATAS PEMBERIAN ATAU HADIAH MENURUT HUKUM SYARAK

Kesan ke atas Mahar (mas kahwin)
Ulama tidak berbeza pendapat, mas kahwin yang didahulukan dalam majlis pertunangan oleh pihak lelaki boleh dituntut kembali.

Ini kerana mahar hanya akan menjadi milik perempuan setelah berlakunya akad nikah atau perkahwinan.


Kesan ke atas Pemberian atau Hadiah (Hantaran)

Pemberian atau hadiah pertunangan berlainan dengan pemberian biasa (hibbah) kerana pemberian tersebut mengharapkan balasan dari pihak penerima iaitu melangsungkan perkahwinan. Oleh itu jika ternyata perkahwinan yang bakal dilangsungkan itu dibatalkan, maka pihak pemberi berhak menuntut kembali pemberiannya. Namun, berlaku perselisihan fuqaha' berhubung dengan persoalan ini :

Mazhab Syafie berpendapat bahawa orang yang memberi berhak mengambil balik pemberian itu, sama ada ia masih wujud atau telah rosak, tanpa mengira pihak mana yang memutuskan pertunangan itu.

Mazhab Hanafi berpendapat bahawa pihak yang memberi berhak menuntut kembali sekiranya hadiah itu masih wujud dalam pihak yang menerima, sebaliknya jika telah rosak, maka pemberi tidak berhak lagi menuntutnya kembali kerana hadiah adalah suatu pemberian dan pemberian tidak boleh diminta balik atau ganti nilainya oleh mana-mana pihak jika ia telah digunakan, rosak atau telah berubah sifat asalnya.

Mazhab Hanbali berpendapat bahawa hadiah-hadiah pertunangan tidak boleh dituntut kembali apabila berlaku mungkir janji untuk berkahwin atau pembatalan pertunangan kerana ia dianggap sebagai hibbah.

Mazhab Maliki merujuk kepada syarat jika ada syarat. Jika tiada hendaklah dirujuk kepada adat. Jika tiada maka dilihat kepada pihak yang memutuskan pertunangan.
  • Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan, maka dia tidak berhak menuntut kembali hadiah pemberiaannya; kerana tindakannya memutuskan pertunangan, kalau dibenarkan lelaki menuntut kembali hadiah pemberiaannya, beerti pihak perempuan terpaksa menanggung dua risiko bencana: pertama, lelaki yang meminangnya berpaling tadah dan memutuskan hubungan pertunangan. Kedua, terpaksa pula mengembalikan hadiah-hadiah yang diterimanya semasa dalam pertunangan. 
  • Jika pihak perempuan yang memutuskan pertunangan, maka ketika itu pihak lelaki berhak menuntut kembali hadiah yang diberinya semasa pertunangan, sama ada hadiah itu masih wujud dalam milik perempuan atau telah rosak dan sebagainya; supaya pihak lelaki tidak menanggung sua risiko bebanan dalam suatu masa, iaitu hilang hartanya dan putus pula pertunangan.
Jika dilihat, jelas pendapat Mazhab Maliki adalah paling wajar diamalkan bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh orang yang berkenaan.


Namun terdapat adat pertunangan yang diamalkan bertentangan dengan prinsip syarak;
  • Jika pihak lelaki yang mungkir janji akan pertunangan itu dan tidak mahu berkahwin, maka dia tidak boleh menuntut kembali hadiah-hadiah yang diberikan kepada pihak perempuan (tidak bertentangan dengan syarak).
  • Sebaliknya, jika perempuan yang mungkir janji akan pertunangan itu, maka dia hendaklah membayar dua kali ganda harga duit atau barang-barang yang diberikan oleh pihak lelaki. 
Adat ini menampakkan pertentangan dengan prinsip-prinsip Islam kerana ia menimbulkan penipuan atau gharar dan penindasan terhadap pihak perempuan.


Apabila sesuatu pertunangan itu dibatalkan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak, maka tidaklah wajar pihak lelaki atau perempuan menuntut balik pemberian masing-masing. Ini kerana pemberian tersebut dianggap sebagai hibah atau hadiah dan menjadi kepunyaan penerima hibah.

Walaubagaimanapun tidak menjadi kesalahan jika mana-mana pihak secara sukarela dan redha untuk memulangkan pemberian pertunangan atau melepaskan (menghalalkan) kepada pihak penerima dan menganggap ia sebagai hadiah.


Adat pertunangan yang diamalkan banyak mendatangakan faedah dan boleh merapatkan hubungan kedua-dua belah pihak. Adat ini juga menggalakkan pemberian hadiah di antara kedua-dua pihak dan oleh itu boleh mendatangkan kehormatan dan kasih sayang di antara mereka. Namun prinsip ini akan tercemar jika pemberian itu bertujuan untuk 'menunjuk-nunjuk' hingga timbul rasa riak, takbur dan sebagainya.


(Rujukan bersama : Persoalan Fiqh Semasa UKM dan Kajian Konsep Pertunangan Menurut Perspektif Islam:Beberapa Isu Berbangkit-Jabatan Syariah UKM)

No comments:

Post a Comment

Jom Share (^_^)